By Ismail Muhamad – 06/06/2021
KUALA KRAI | Seramai 27,000 atau 31.8 peratus orang berumur 18 tahun ke atas sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid 19 di daerah ini sehingga semalam.
Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Krai, Dr Hazura Mat Zubir berkata, jumlah pendaftaran vaksinasi ternasuk warga emas semakin meningkat dengan pelbagai program termasuk gerak gempur.
“Setakat ini seramai 12,500 orang sudah menerima vaksin bagi dos kali pertama di daerah Kuala Krai.
“Gerak gempur bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin dipertingkatkan dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan berkaitan,” katanya kepada media pada program Outreach Vaksinasi Covid 19 di perkarangan Masjid Kampung Bahagia di sini, hari ini.
Prpgram Outreach Vaksinasi membabitkan 400 penduduk dari 10 kampung di Mukim Mambong terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil.
Turut serta menjayakan program dijalankan PKD Kuala Krai bersama Hospital Sultan Ismail Petra dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurut Dr Hazura, program outreach vaksinasi ini membantu usaha menyenarai dan mendaftar penduduk terutama di kawasan pedalaman seperti di Kampung Bahagia kerana ia dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin secara berkelompok mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, pihaknya mendapat kerjasama jawatankuasa di peringkat kampung termasuk imam, penghulu dan penggerak komuniti dalam membantu program pendaftaran vaksin kepada penduduk.
Beliau mengakui terdapat kesulitan kepada penduduk yang tidak ada liputan jalur lebar selain tidak mempunyai aplikasi MySejahtera serta menggunakan telefon biasa.
Sehubungan itu katanya, pembabitan KKM bersama agensi kerajaan dalam program gerak gempur antaranya Jabatan Penerangan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan APM.