KOTA BHARU | Hanya surat pengesahan daripada kementerian atau agensi tertentu saja diterima pakai sebagai bukti yang membolehkan pekerja bergerak dari kediaman ke tempat kerja mulai 8 Jun, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata, sebagai agensi bertanggungjawab menguatkuasa sekatan jalan raya (SJR), dokumen pengesahan yang dibenarkan hendaklah bertarikh mulai 1 Jun bagi sektor dibenarkan beroperasi.
“Antara surat pengesahan dibenarkan ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri (MITI); Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT); Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komuditi (MPIC); serta Bank Negara Malaysia (BNM).
“Selain itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC); pihak berkuasa tempatan (PBT); Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Dalam Negeri (KDN); serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pihak yang tiada sebarang dokumen yang sah seperti dinyatakan ini atau sudah tamat tempoh iaitu sebelum 1 Jun, akan diarah berpatah balik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Acryl Sani berkata, bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara, atau penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperolehi daripada polis secara ‘one off’ dari 1 Jun hingga 14 Jun.
Katanya, tindakan sama juga perlu dibuat bagi pekerja sektor yang tidak dibenarkan beroperasi, namun tempoh kebenaran hanya diberikan selama antara dua hingga tiga hari saja dengan bukti daripada majikan.
“Bagi pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat akan dikeluarkan oleh Bahagian Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri melalui MITI (CIMS 3.0).
“Pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes baharu, mereka hendaklah menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di SJR.
“PDRM mengingatkan kepada orang ramai supaya mengemukakan dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian atau agensi yang disenaraikan ketika melalui SJR.
“Mereka yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau beri surat palsu, akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.