KUALA LUMPUR | Seramai 933 individu dikompaun, manakala 49 lagi direman selepas mereka ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam satu pemeriksaan di seluruh negara.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu dibuat selepas sebanyak 67,733 pemeriksaan dilakukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
Katanya, pemeriksaan itu membabitkan seramai 4,426 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 17,327 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Antara kesalahan yang direkodkan ialah tidak memakai pelitup mukka (222 kes); gagal merekod butiran diri masuk premis (150 kes); rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran/makan di premis (133 kes); serta tiada penjarakan fizikal (125 kes).
“Selain itu, sebanyak 105 kesalahan membawa penumpang berlebihan; tidak patuh arahan kawalan pergerakan (89 kes); Premis gagal patuhi arahan (23 kes); serta lain-lain (135 kes),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, seramai 595 individu yang tiba di pintgu masuk antarabangsa sudah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.
Secara kumulatifnya, katanya, seramai 219,754 individu yang pulang ke tanah air ditempatkan di 76 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara, sejak 24 Julai tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 8,805 individu telah dikuarantin dan 208,544 lagi dibenarkan pulang manakala 2,405 orang dibawa ke hospital,” katanya.