Laporan LAKSANA bertarikh 3 Jun 2021 oleh Yang Berhormat Mulia Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul, memaparkan liku-liku dan cabaran ke arah pemulihan (recovery) dan pemerkasaan (revitalize) ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Semua rakyat Malaysia tahu tentang masalah ekonomi negara dan ramai juga yang mempunyai pandangan serta teori masing-masing bagaimana cara mengatasinya.
Dua perkara penting yang kita harus faham dengan jelas ialah penguncupan ekonomi tahun 2020 ialah pada tahap 5.6% dan kenaikan kadar pengangguran pada tahap 4.7% (atau 800,000 orang) serta “under-employment” pada jumlah 500,000. Inilah masalah besar Ekonomi Negara.
Penguncupan Ekonomi
Apakah sebenarnya penguncupan ekonomi? Dengan kata yang mudah difahami ialah di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun sebanyak RM 72.8 billion pada tahun 2020 berbanding dengan 2019. Dalam erti lain, setiap rakyat Malaysia yang produktif (ertinya bekerja) telah mengalami penurunan produktiviti sebanyak RM 4,667 seorang setahun. Sebagai contoh, jikalau kita berkerja sebagai peniaga, jualan tahunan kita telah merosot sebanyak RM 4,667 pada tahun 2020 berbanding tahun 2021. Jikalau kita bekerja sebagai operator di kilang elektrik, syarikat kita mengalami penurunan jualan sebanyak RM 4,667 dalam tempoh yang sama. Sekiranya syarikat tersebut mempunyai 1,000 orang pekerja, syarikat tersebut mengalami penurunan jualan sebanyak RM 4,667,000 pada tahun 2020 tersebut.
Kadar Pengangguran Yang Tinggi
Berkait rapat juga dengan penurunan produktiviti ialah kenaikan kadar pengangguran. Berbalik kepada contoh kilang elektrik tersebut, penurunan jualan sebanyak RM 4,667,000 mengakibatkan syarikat tersebut tidak lagi mampu membayar gaji kepda semua 1,000 pekerja. Maka disini, syarikat tersebut perlu mengurangkan bilangan pekerjanya, justeru sebahagian pekerja akan menganggur. Ada juga dalam kalangan jurutera kilang tersebut yang diturunkan pangkat menjadi ketua operator. Situasi ini dinamakan “under-employment”, dimana tenaga kerja berkelayakan tinggi atau berpengalaman melakukan kerja yang lebih rendah (dengan gaji yang lebih kecil) kerana ketiadaan kerja lain yang setaraf dengan kelulusan atau pengalaman mereka. Pergerakan ekonomi sebenarnya adalah lebih rumit dan dinamik daripada apa yang saya sebutkan ini, tetapi bagi tujuan kefahaman asas, di atas mungkin berfaedah.
Inilah dua masalah utama yang kita hadapi sekarang. Kerajaan PN dibawah pimpinan Yang Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperkenalkan Strategi Pemulihan Ekonomi 6R.

Keberkesanan strategi tersebut bergantung kepada banyak faktor dan bukan semata dari sudut bajet serta jumlah bajet. Untuk membolehkan keberlangsungan program ini, agensi pelaksana haruslah berkesan dan pada masa yang sama penerimaan dan sambutan dari setiap lapisan masyarakat dan perniagaan haruslah seiring.
Sehingga Mei 2021, sejumlah RM 200 billion telah digunakan untuk manfaat 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan. Komponen terbesar ialah pakej Prihatin berjumlah RM165.7 billion (termasuk Bantuan Prihatin Rakyat) manakala pakej PENJANA pula melihatkan penggunaan dana berjumlah RM 19.69 billion. Daripada bajet keseluruhan RM 340 billion, masih ada sekitar RM 140 billion yang belum dibelanjakan dan ini adalah tumpuan Kerajaan sekarang dalam pakej PEMERKASA+ (RM 40 billion), Permai (RM 15 billion) dan PENJANA (RM 35 billion) untuk memastikan pemulihan ekonomi akan berjalan dengan pesat, tersusun dan bersasar.
Perusahan Kecil Sederhana PKS
PKS adalah nadi ekonomi negara yang menyumbangkan hampir 40% kepada KDNK. Berdasarkan statistik terkini, terdapat sejumlah 907,065 PKS seluruh negara dengan bilangan pekerja seramai 7.3 juta orang. Malah 98.5% perniagaan di negara kita adalah dalam bentuk PKS samada secara Mikro (76.5%), Kecil (21.2%) atau Sederhana (2.3%).

Dalam pengurusan PKS negara, banyak perkara yang boleh kita pelajari dari sejarah kejayaan PKS Korea Selatan selepas Perang Korea yang berakhir pada tahun 1953. Dasar aggresif kerajaan Korea Selatan yang memberi penekanan kepada pembuatan barangan untuk ekspot berserta insentif cukai dan kewangan serta subsidi kewangan kepada PKS mereka kini bergelar ‘Chaebols’. Hari ini kita lihat muncul syarikat multinational seperti Hyundai, Samsung dan juga LG yang begitu berjaya diperingkat dunia.
Pada tahun 1960 KDNK per kapita Korea Selatan adalah serendah USD 79 setahun. Hari ini ianya telah mencecah USD 34,865. Manakala KDNK percapita Malaysia pada tahun 1960 ialah USD 235 setahun dan hanya meningkat kepada USD 11,414 pada tahun 2019. Ini kemudiannya menguncup kepada USD 10.192 setahun pada tahun 2020.
Berdasarkan Laporan LAKSANA tersebut, sejumlah RM 421 juta telah dikeluarkan kepada 12,666 PKS Mikro seluruh negara melalui Mikro Kredit Penjana BSN, manakala RM 100 juta lagi dikeluarkan melalui Tekun kepada 14,946 PKS Mikro. Penglibatan dari PKS Mikro ini ternyata masih lagi rendah (pada tahap 4% sahaja).
Bagi PKS Bumiputra RM 200 juta dikeluarkan kepada 749 PKS melalui PUNB. Bagi PKS Kecil&Sedang, RM 11.95 billion dikeluarkan kepada 25,406 PKS. Jumlah PKS yang mendapat manfaat adalah pada tahap 12.3% sahaja.
Sebenarnya terdapat lebih banyak lagi pakej-pakej yang disediakan oleh Kerajaan untuk memulihkan sektor PKS ini. Ini termasuklah pakej Penjana seperti di Mara dan juga SME Bank. Ada juga pakej berasingan untuk sektor Pelancongan dan Pertanian & Makanan.
Perkara yang perlu dititikberatkan sekarang ialah penyebaran maklumat secara berluasan kepada semua PKS terkesan. Ini penting demi menolak tohmahan liar bahawa Kerajaan kekurangan wang. Pada masa yang sama, ada juga baiknya satu bentuk, pemudahacara diwujudkan bagi melicinkan kelangsungan pakej-pakej tersebut. Agensi agensi pelaksanaan yang terlibat juga memainkan peranan yang sangat penting dalam kelangsungan program ini. Kita tidak pernah mengalami pandemik sebegini, gunakanlah kebijaksanaan, timbang rasa dan budi bicara dalam menjalankan tanggungjawab kita semua. It will go a long way!
Secara keseluruhan, kita berada pada tahap yang cukup baik dalam menangani pandemik Covid-19 ini. Kita juga berada pada landasan yang tepat untuk memulihkan ekonomi dengan mencatatkan pertumbuhan 6%-7.5% menjelang hujung tahun ini. Dari sudut kesihatan, walaupun angka penularan dan kematian sekarang adalah pada tahap tertinggi, secara statistik kadar kematian di negara kita masih lagi rendah berbanding negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Kadar kematian di UK ialah 0.23% dari jumlah penduduk, manakala di AS pula ialah 0.18%. Kita di Malaysia adalah rendah pada kadar 0.01% daripada jumlah bilangan penduduk.
Apa yang paling penting untuk iktibar kita bersama ialah, semua rancangan Kerajaan walaupun sebesar manapun bajet yang diperuntukkan, ianya hanya akan berjaya sekiranya kita semua, seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama serta tempat tinggal, Bersama-sama berusaha menjayakannya. Sambutlah, hormatilah dan laksanakanlah segala saranan Kerajaan sama ada dalam pematuhan SOP mahupun seruan untuk suntikan vaksin.
Bersama, kita mampu berjaya.
Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia
Ahli Majlis MARA