KUALA LUMPUR | National Task Force (NTF) memperketatkan kawalan di sempadan negara ekoran laporan media Indonesia mengenai pendaratan 81 orang pelarian etnik Rohingya yang dikesan di sekitar pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Acheh Timur, Indonesia pada 4 Jun jam 07.00 pagi (waktu Indonesia Barat).
NTF dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan berkata, kumpulan pelarian Rohingya berkenaan terdiri daripada 70 orang dewasa dan 11 orang kanak-kanak.
Katanya, mereka telah berjaya mendarat pada waktu malam atau awal pagi 3 Jun yang mana pada asalnya adalah berjumlah 90 orang namun 8 orang telah meninggal dunia dan seorang hilang di laut.
“Terdahulu, NTF telah menerima dua laporan pergerakan bot dan ‘motherboat’ Rohingya berlepas daripada Kem Cox’s Bazar, Bangladesh pada Februari dan April lalu dan memantau rapat sebarang pengumpulan maklumat berkaitan.
“Berdasarkan analisis dan risikan semasa, NTF percaya terdapat percanggahan maklumat setelah dibuat penilaian pendaratan terbaharu ini dengan fakta, sejarah dan modus operandi sindiket penyeludupan migran Rohingya ke perairan Malaysia-Indonesia,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata lagi, merujuk kenyataan pendaratan Rohingya pada 2019 dan 2020, etnik Rohingya dibawa secara runcit ke Malaysia menggunakan bot-bot nelayan yang dipercayai menerima upah daripada sindiket.
Katanya, hasil maklumat risikan NTF mempercayai pendaratan ini juga menggunakan modus operandi yang hampir sama dan masih terdapat sebuah motherboat yang berada di perairan antarabangsa.
“Sebahagian Rohingya dilepaskan untuk mendarat di Acheh Timur dan bakinya masih menunggu masa untuk dibawa mendarat ke Malaysia. Pendaratan di Acheh Timur dilihat sebagai salah satu taktik ‘diversion’ yang dilakukan oleh sindiket bagi mengaburi pergerakan memasuki Malaysia secara runcit menggunakan bot nelayan tempatan atau asing tanpa dikesan pihak berkuasa.
“NTF juga berpendapat bahawa keadaan susuk tubuh pelarian yang kelihatan sihat dan segar semasa ditemui penduduk setempat dipercayai menerima bekalan dan bantuan sindiket dari atas motherboat selain mempunyai akses telefon bimbit persendirian menunjukkan bahawa mereka dijaga baik.
“Maklumat oleh mangsa yang mengatakan bot pelarian Rohingya ini telah ‘ditolak’ untuk memasuki perairan Malaysia adalah tidak benar memandangkan tiada sebarang pertemuan berlaku di antara pihak berkuasa Malaysia dengan bot tersebut dan menyangkal maklumat yang diberi oleh pihak mangsa,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, NTF menerusi Operasi Benteng akan meningkatkan kesiapsiagaan dan mengatur gerak aset Maritim di perairak antarabangsa serta pemantauan radar dan aset udara bagi mengesan sebarang pergerakan bot yang mencurigakan.
Ujarnya, NTF juga akan meningkatkan perantauan sebarang cubaan kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) dari exit point Tanjung Balai, Medan dan Dumai ke titik-titik pendaratan haram serta lorong tikus di sepanjang Pantai Barat Semenanjung.
“NTF tidak akan berkompromi dengan sindiket dan pengkhianat negara yang terlibat dengan penyeludupan pelarian Rohingya dan PATI ke negara ini. Tindakan keras akan dikenakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007.
“NTF bersama 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan terus melaksanakan operasi bersepadu memperketatkan kawalan sempadan negara dalam mengekang kemasukan imigran disamping mengawal penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di Malaysia.