KUALA LUMPUR | Kerajaan hari ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Pahang dan Sabah, bermula 8 Jun hingga 21 Jun.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata di kawasan Pahang, terdapat tiga lokaliti di Jaya Gading membabitkan Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai serta Bandar Baru Jaya Gading.
Beliau berkata, lokaliti itu dikuatkuasan PKPD selepas seramai 44 kes positif Covid-19 dilaporkan hasil ujian saringan terhadap 466 individu.
Menurutnya, Kawasan Perindustrian Gebeng turut dikenakan PKPD selepas 56 kes positif direkodkan sebaik 1,900 individu disaring.
“Di Sabah pula, PKPD dikenakan di Kampung Ongkilan, Kota Marudu apabila sebanyak 15 kes positif direkodkan hasil daripada 77 saringan.
“Malah, dua lokaliti di Nabawan membabitkan Kampung Pulutan (11 kes) dan Kampung Murni C (20 kes); Kampung Bolong Baru di Tuaran (12 kes); dua perkampungan di Kota Belud iaitu Kampung Tamalang dan Kampung Tugusan (12 kes); serta Kampung Bergosong di Pulau Sebatik (sembilan kes), dikenakan PKPD.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar terhadap penduduk yang terbabit dan seterusnya mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, PKPD di tujuh mukim dalam daerah Kuantan, Pahang ditamatkan, esok (7 Jun).
Katanya, mukim itu membabitkan Beserah, Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan, dan Ulu Lepar.
“Sepanjang tempoh PKPD di tujuh mukim itu, melakukan 8,109 ujian saringan dan 481 daripadanya disahkan positif Covid-19.
“Di samping itu, PKPD di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah turut ditamatkan. Dalam tempoh itu, KKM telah melakukan 487 ujian saringan dan 49 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya.