PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili seluruh rakyat jelata dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
Muhyiddin menerusi facebook rasminya berkata, beliau bersama seluruh rakyat
mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.
“Patik dan seluruh rakyat jelata juga berdoa mudah-mudahan KDYMM Tuanku dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta semua putera, puteri dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lingkungan dan rahmat-Nya jua, dilanjutkan usia zaman serta berada dalam keadaan sihat walafiat selama-lamanya.
“Sebagaimana KDYMM Tuanku sedia maklum, negara masih lagi berada dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang bertujuan melandaikan lengkung jangkitan COVID-19.
“Insya-Allah, dengan segala usaha yang sedang dijalankan oleh Kerajaan KDYMM Tuanku dalam melawan pandemik COVID-19 ini akan memperoleh kejayaan jua atas limpah perkenan dan naungan KDYMM Tuanku,” katanya.
Terdahulu, Istana Negara menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata,
semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Penangguhan itu yang dibuat atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum serta untuk melindungi nyawa rakyat, demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.