KUALA LUMPUR | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini telah menerima notis tamat tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-18.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pemakluman rasmi itu dibuat oleh Speaker DUN Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar pada hari ini.
“Namun begitu mengikut Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan untuk memanggi, memprorog (pemberhentian atau penggantungan persidangan Dewan Rakyat di Parlimen)dan membubarkan DUN Sarawak tidak mempunyai kesan.
“Ia akan ditetapkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagi Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memperuntukkan pilihan raya DUN bagi tempoh darurat berkuat kuasa tidak mempunyai kesan dan tarikh Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah diadakan pada tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
“Oleh yang demikian, memandangkan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa maka Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ditangguhkan,” katanya.