LONDON | Seramai 100 bekas pemimpin dunia termasuk presiden, perdana menteri dan menteri luar mendesak negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) membiayai program vaksinasi COVID-19 global bagi mengekang ancaman mutasi virus berkenaan.
Lapor Agensi, desakan pemimpin berkenaan dibuat menjelang Sidang Kemuncak G7 di England yang akan bermula Jumaat ini, di mana Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan bertemu dengan pemimpin Britain, Perancis, Jerman, Itali, Kanada dan Jepun.
Dalam surat mereka kepada G7, bekas pemimpin dunia itu berkata kerjasama global gagal pada 2020 tetapi yakin 2021 akan memberi sinar kepada era baharu.
“Sokongan daripada G7 dan G20 yang menjadikan vaksin mudah diakses oleh negara berpendapatan rendah dan sederhana bukan satu tindakan amal, sebaliknya demi kepentingan strategik setiap negara,” menurut surat itu.
Antara yang menandatangani surat berkenaan adalah bekas pemimpin Britain, Gordon Brown dan Tony Blair, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban-Ki Moon dan 15 bekas pemimpin Afrika.
Menurut mereka, G7 dan pemimpin dunia lain yang dijemput menghadiri sidang kemuncak itu seharusnya memberi jaminan untuk membiayai kira-kira AS$30 bilion (RM123 bilion) setahun selama dua tahun untuk memerangi pandemik di seluruh dunia.
“Untuk G7 membayar bukanlah amal, ia adalah perlindungan untuk menghentikan penyebaran, mutasi dan ancaman kepada kita semua,” kata Brown.
“Kos hanya 30 pence (AS$0.43) (RM1.78) setiap orang setiap minggu di UK, adalah harga yang kecil untuk membayar polisi insurans terbaik di dunia,” tambahnya dalam satu kenyataan.
Desakan bekas pemimpin dunia itu bertepatan dengan tinjauan oleh Save the Children yang mendapat sokongan masyarakat di Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman dan Kanada untuk G7 membiayai AS$66 bilion (RM272 bilion) yang diperlukan untuk vaksin COVID-19 di seluruh dunia.