KOTA BHARU | Bukan cubaan menakutkan rakyat Kelantan namun itulah hakikat bahawa kita perlu beranggapan orang sekeliling berpotensi menjadi pembawa virus COVID-19 dan diri sendiri mungkin dijangkiti.
Itu peringatan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin berikutan kes penularan COVID-19 semakin menjadi-jadi.
Katanya, kes jangkitan kali ini sudah diklasifikan sebagai jangkitan sproradik iaitu merupakan kes seseorang individu itu tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak ada berhubung dengan kontak rapat COVID-19, tetapi dia telah disahkan positif.
“Jangkitan COVID-19 adalah jangkitan melalui titisan cecair badan samada air liur atau bersin melalui bawaan udara. Apa yang membimbangkan, kita tidak dapat mengenalpasti individu mana yang membawa virus ini.
“Bahkan lebih merisaukan, pembawa virus tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan. Tambahan pula, virus COVID-19 kini telah berevolusi varian baharu yang mudah merebak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga semua perlu menjaga penjarakkan fizikal sesama sendiri yang boleh melindungi diri dari sebarang kontak rapat.
“Kita mungkin boleh memperdaya pihak berkuasa tetapi bukan kepada virus. Kita harus sedar bahawa virus ini tidak memilih untuk menjangkiti kepada siapa, baik mereka yang tinggal di bandar atau di kampung. Muda atau tua, miskin atau kaya.
“Kita boleh lihat betapa kesan terjangkiti virus ini sangat memilukan hati. Pesakit mengalami kesukaran bernafas sehingga perlu bergantung kepada mesin bantuan. Ditahan sendirian dan keluarga tidak dibenarkan untuk menjaga,” katanya.
Apa yang lebih menyayat hati, Dr Izani berkata, apabila berlaku kematian kerana COVID-19, ahli keluarga tidak dapat berada di sisi jenazah, apatah lagi bersua disaat akhir sehingga dikebumikan.
Katanya, telah banyak kisah yang menyayat hati di sekeliling berlaku dan mudah-mudahan rakyat Kelantan dijauhkan dari keadaan sebegitu.
“Patuhilah, prosedur operasi standard (SOP) dengan kekal di rumah dan keluar bila ada keperluan, itulah antara langkah yang paling efektif setakat ini,” katanya.
Selain itu, beliau sering kali mengulangi peringatan supaya wajib memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.
“Sebolehnya kita tidak digalakkan untuk berbual dengan mana-mana individu secara dekat, apatah lagi mengadakan pertemuan meskipun di tempat sulit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Kelantan mendaftar sebagai penerima vaksin sebagai satu ikhtiar terbaik membendung penularan COVID-19.