NEW YORK | Inokulasi COVID-19 global kini mencapai 2 bilion dos ketika dunia terus berlumba membendung wabak yang menjangkiti lebih 174 juta orang dan meragut lebih 3.7 juta nyawa.
Menurut laporan Bloomberg, dijangka sembilan bulan lagi diperlukan bagi menyuntik 75 peratus penduduk dunia, sekali gus mencapai imuniti kelompok global.
Program suntikan vaksin tidak seragam, kebanyakannya lebih memanfaatkan negara maju manakala negara berpendapatan rendah masih bergelut bagi mendapatkan bekalan vaksin
Berdasarkan laporan sama, kalangan 27 negara terkaya dunia sudah melaksanakan 29 peratus suntikan peringkat global tetapi ini hanya merangkumi 10 peratus penduduk dunia.Menurut Bloomberg’s Vaccine Tracker, Amerika Syarikat (AS) serta Britain menerajui program inokulasi dan China memberikan dos paling banyak manakala anggota Kesatuan Eropah (EU) sedikit ketinggalan selepas permulaan yang perlahan.
China kini menyumbang kira-kira dua pertiga daripada 36 juta suntikan yang diberikan setiap hari, EU mengendalikan jumlah kedua tertinggi dengan kira-kira 3.6 juta dos setiap hari diikuti India dengan 2.6 juta dos suntikan sehari.
Di AS, nisbah 89.4 dos suntikan diberi kepada setiap 100 orang, berbanding nisbah global iaitu 23 dos bagi setiap 100 orang.
Walaupun 2 bilion dos suntikan bersamaan dengan lebih 25 peratus penduduk dunia, jumlah sebenar sudah menerima suntikan vaksin jauh di bawah tahap itu.
Ini kerana setiap vaksin memerlukan suntikan dua dos untuk benar-benar berkesan, sebaliknya sesetengah individu hanya menerima satu suntikan. – AGENSI