KARACHI | Sekurang-kurangnya 30 terbunuh manakala lebih 50 yang lain cedera dalam nahas kereta api di selatan Pakistan, hari ini.
Lapor AFP, ramai mangsa masih terperangkap dalam kemalangan yang berlaku di Daharki, utara wilayah Sindh.
Jurucakap Pakistan Railways memberitahu sebuah kereta api dari Karachi menuju ke Sargodha tergelincir ke trek yang membawa perkhidmatan dari Rawalpindi, arah bertentangan.
Katanya, penyelamat meminta bantuan segera berupa peralatan khas supaya dapat masuk ke kawasan nahas.
“Ia sangat jauh dan itulah sebabnya kami menghadapi beberapa masalah dalam kerja menyelamat… sekurang-kurangnya enam gerabak musnah dalam kemalangan itu,” katanya.
Insiden itu berlaku di laluan antara Stesen Kereta Api Raiti dan Obaro di daerah Ghotki, memetik media tempatan.
Nahas berlaku selepas kereta api Millat Express yang dalam perjalanan ke timur bandar Sargodha, Karachi bertembung dengan kereta api Sir Syed Express menghala ke Karachi dari Rawalpindi.
Perdana Menteri Imran Khan berkata beliau terkejut dengan kemalangan itu dan berjanji akan mengarahkan siasatan penuh.
“Saya akan mengarahkan siasatan menyeluruh mengenai tahap keselamatan trek kereta api,” katanya di akaun rasmi Twitternya.
Rakaman telefon bimbit yang disiarkan di televisyen menunjukkan kereta api hancur, dengan beberapa gerabak tersadai di sebelahnya.
Kemalangan kereta api adalah perkara biasa di Pakistan, yang mewarisi ribuan kilometer trek kereta api daripada Britain yang menjajah negara itu.
Sistem pengangkutan itu terjejas akibat rasuah, salah urus dan kekurangan pelaburan.
Sekurang-kurangnya 75 orang mati apabila kereta api terbakar ketika dalam perjalanan dari Karachi ke Rawalpindi pada Oktober 2019.
Dua kereta api yang membawa ratusan penumpang bertembung di Karachi pada 2016 mengorbankan 21 orang.