SERDANG | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima bas ambulans milik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk digunakan bagi membawa pesakit kategori tiga dan empat dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 ke Hospital Sungai Buloh.
Bas ambulans yang berkapasiti 40 tempat duduk dilengkapi dengan tangki oksigen dan boleh membawa sehingga 20 orang pesakit serta dua anggota paramedik pada satu-satu masa.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah memaklumkan proses pengubahsuaian bas ambulans itu dipantau dan diteliti sepenuhnya oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM.
“Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan barisan hadapan serta petugas-petugas dari agensi lain yang banyak membantu KKM dalam melancarkan operasi di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 Serdang,” katanya menerusi laman Facebook KKM di sini.


Ketika lawatan beliau turut melawat Dewan E1 yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada 9 Jun ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Ketika lawatan beliau meluangkan masa untuk bertemu dengan petugas barisan hadapan dari pelbagai Agensi Kerajaan yang ditugaskan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 Serdang.-JOURNAL MALAYSIA