KOTA BHARU | Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Perabot Malaysia (MFC) bagi pelaksanaan Program Skim Latihan Agrikomoditi Mahir (SLAM) Sektor Perkayuan untuk memperkasakan pembangunan modal insan sektor terbabit.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan hari ini, berkata industri agrikomoditi khususnya operasi kilang sektor perabot banyak bergantung kepada pekerja asing.
Menurutnya, sektor itu berdepan dengan cabaran yang serius untuk mendapatkan tenaga kerja sejak dunia dilanda pandemik COVID-19.
“Justeru, kerajaan membuat keputusan untuk memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan supaya dapat mengurangkan kebergantungan sektor perabot terhadap pekerja asing.
“SLAM dilaksanakan secara usahasama antara MTIB dan MFC iaitu melalui program latihan kemahiran yang menfokuskan kepada industri di lapangan.
“Jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua entiti ini dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu mengatasi isu kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor ini,” menurut kenyataan itu.
Katanya, bermula tahun 2021, seramai 500 belia tempatan yang berkemahiran akan dilahirkan menjelang tahun 2023 dan sejumlah RM750,000 akan diperuntukkan bagi keseluruhan program ini.
“Modul latihan ini dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan yang membabitkan 30 peratus latihan secara teori dan 70 peratus latihan secara On Job Training (OJT) di kilang.
“Pelatih disediakan insentif latihan membabitkan makan minum, penginapan, pengangkutan dan insuran secara percuma termasuk elaun bernilai RM500 sebulan.
“Program SLAM Sektor Perkayuan ini diharap mampu menarik minat golongan belia dan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran di seluruh negara untuk bekerja dalam sektor perkayuan.
MTIB melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) juga mempunyai kemudahan yang lengkap bertaraf Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk memberi latihan dalam bidang perkayuan dan pembuatan perabot,” katanya.