MACHANG | Dek kerana kemiskinan hidup lapan beranak terpaksa menumpang berteduh di rumah usang berusia 50 tahun milik saudaranya yang dimakan anai-anai di Kampung Telaga Tujuh, dekat Labok di sini.
Namun jauh di lubuk hati sepasang suami isteri ini, Mohd Alwi Che Yob, 54 dan Radziah Ab Ghani, 55, inginkan memiliki mahligai sendiri demi keselesaan mereka lapan beranak.
Mohd Alwi berkata, rumah usang milik saudara isterinya itu turut menjadi tempat berlindung bersama dua anak dan empat cucunya sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, dia mengambil upah menoreh getah dan pendapatan bergantung kepada tahap kesihatannya, memandangkan dirinya juga tidak begitu gagah untuk membanting tulang.
Disebabkan keadaan keluarganya tidak semewah orang lain mereka tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri meskipun jauh dilubuk hati ketua keluarga itu mahu memiliki rumah sendiri.
“Pada tahun 2014 kami pernah bina rumah di tanah adik ipar tapi disebabkan kekangan kewangan ia tertangguh dan kami terpaksa menumpang di rumah saudara,” katanya.
Kehidupan Mohd Alwi turut diduga apabila isterinya menghidap penyakit kolesterol dan darah tinggi, bahkan perlu berulang alik ke Klinik Kesihatan Labok dua kali sebulan.
Bagi kos rawatan Radziah, Mohd Alwi tidak terlalu risau, kerana isterinya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan.
Kisah penderitaan serta kesempitan hidup keluarga terbabit mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
MAIK bersetuju untuk menampung kos menyiapkan rumah yang terbengkalai sejak tujuh lalu sebanyak RM42,000.
MAIK mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang secara berterusan memberikan kepercayaan kepada pihaknya dalam memberikan kegembiraan untuk mereka yang memerlukan.