TAIPING: Seorang lelaki dikenakan kompaun RM20,000 kerana menganjurkan satu perjumpaan membabitkan 27 individu daripada jemaah tabligh di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Perwira, Kamunting, di sini semalam.
Lapor Berita Harian, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata dalam kejadian sekitar jam 1 tengah hari, pihaknya yang menerima aduan orang awam berhubung aktiviti itu segera membuat serbuan di rumah berkenaan.
Beliau berkata, serbuan itu membabitkan 22 anggota termasuk wakil Pejabat Agama Islam daerah, Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Pejabat Kesihatan daerah dan anggota RELA.
“Sewaktu serbuan dibuat kami dapati seramai 27 lelaki majoritinya adalah warga emas sedang berkumpul dalam rumah terbabit.
“Siasatan dan temubual mendapati semua mereka berkumpul bagi membincangkan mengenai program amal yang akan dijalankan disamping menjalankan aktiviti kerohanian di rumah tersebut.
“Susulan itu, seorang lelaki berusia 54 tahun mengaku menganjurkan perhimpunan itu dikompaun RM20,000 kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan manakala 26 yang lain diberikan amaran dan nasihat,” katanya ditemui media di Sekatan Jalan Raya (SKR) di Taman Berkat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini, hari ini.
Osman berkata, pihaknya juga giat menjalankan operasi di premis atau kilang sekitar daerah ini bagi mengesan yang beroperasi tanpa surat kebenaran dan memalsukan surat kebenaran Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI).
“Kita akan terus melaksanakan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas termasuk kompaun kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hampir setiap hari ada premis dan kilang yang dikompaun kerana kesalahan melanggar SOP termasuk memalsukan surat MITI dan beroperasi bukan di bawah perniagaan yang dibenarkan (jumlah kilang/premis tidak diberikan),” katanya.