KUALA LUMPUR | Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pelaksanaan beberapa program yang boleh mengganggu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, antara program yang dimaksudkan adalah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan Perancangan Strategik Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT; serta pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT); kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Dialog Prestasi; Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).
“Penilaian semula perlu dibuat kerana ia akan menambah beban serta mengganggu tumpuan guru ketika melaksanakan PdPR.
“Pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid dilihat masih belum mendapat pendidikan yang sempurna sejak pandemik Covid-19 berikutan PdP secara bersemuka kerap tergendala,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mengalukan-alukan pelaksanaan program yang sudah disusun atur itu, namun ketika ini NUTP berpandangan perlu memberi tumpuan kepada pendidikan terlebih dahulu.
Katanya, NUTP meminta program lain ditangguhkan buat sementara waktu dengan memberi ruang kepadaguru memberi tumpuan penuh penambahbaikan PdPR.
“Penerimaan dan keberkesanan PdPR terhadap murid perlu dijadikan perkara paling utama dalam pendidikan ketika ini,” katanya.