PARIS | Pihak Berkuasa Kawal Selia Persaingan Perancis mendenda Google 220 juta euro (RM1.103 bilion) kerana memanipulasi penguasaan pasaran bagi memaparkan pengiklanan dalam talian, lapor AFP.
Penalti itu ialah sebahagian daripada persetujuan yang dicapai tiga kumpulan media, iaitu News Corp, akhbar harian Perancis Le Figaro dan Groupe Rossel, Belgium.
Presiden Pihak Berkuasa Kawal Selia Persaingan Perancis, Isabelle de Silva, mengesahkan Google memberikan layanan ‘pilih kasih’ kepada perkhidmatan pembidaan inventorinya, AdX dan Doubleclick Ad Exchange.
“Ini keputusan pertama kali seumpamanya di dunia untuk meneliti proses algoritma kompleks, demi menentukan bidaan bagi memaparkan iklan secara dalam talian,” katanya.
Kumpulan media yang berhasrat menjual ruang iklan pada laman internet atau aplikasi mudah alih menggunakan pentas pesaing lazimnya berdepan isu ketidakadilan dalam perkhidmatan Google kerana perlu melalui pelbagai kaedah.
Contohnya, Doubleclick didapati memperuntukkan kadar komisyen jualan yang berbeza, bersandarkan sebut harga oleh penyedia pengiklanan.
Pada masa sama, Google menyediakan AdX pentas sampingan (SSP) untuk memberikan layanan ‘berbeza’ kepada tawaran dibuat oleh Doubleclick, sekali gus menekan pesaing lain seperti Xandr atau Index Exchange.
“Amalan ini sangat serius kerana mereka menindas pesaing Google dalam pasaran SSP, selain penyunting laman web dan aplikasi mudah alih,” kata pihak berkuasa berkenaan dalam kenyataan.
Pengarah Perundangan Google Perancis, Maria Gomri, berkata pihaknya tidak mempertikaikan keputusan itu, sebaliknya bertekad melakukan siri perubahan operasi termasuk menambah baik mutu perkhidmatan pengiklanan seliaan pihak ketika.
“Kami akan menguji dan membangunkan perubahan ini dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sebelum memperluaskannya, termasuk pada skala global,” katanya dalam satu kenyataan.