NAYPYIDAW | Perbicaraan pemimpin Myanmar yang digulingkan dalam rampasan kuasa junta tentera 1 Februari lalu, Aung San Suu Kyi, akan bermula Isnin depan.
Lapor AFP, peguamnya, Min Min Soe, berkata pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada pihak plaintif dan saksi pada perbicaraan berikutnya yang dijadualkan 14 Jun ini.
“Beliau meminta semua (orang) untuk terus berada dalam keadaan sihat,” katanya hari ini selepas bertemu Suu Kyi yang ditahan di ibu kota Naypyidaw.
Peguam Suu Kyi bertemu dengannya hanya dua kali sejak junta tentera meletakkannya di bawah tahanan di rumah.
Dengan kesnya tertangguh beberapa minggu, peguamnya bergelut untuk mendapatkan akses bagi menemuinya.
Menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan, sejak Suu Kyi digulingkan, tunjuk perasaan diadakan hampir setiap hari dan gerakan ketidakpatuhan sivil (CDM) berlaku di seluruh negara, dengan hampir 850 orang awam terbunuh setakat ini.
Pemenang Nobel itu didakwa atas beberapa tuduhan jenayah termasuk melanggar sekatan wabak COVID-19 ketika kempen pilihan raya tahun lalu dan memiliki walkie-talkie tanpa izin.
Junta Myanmar juga mengancam untuk membubarkan parti politiknya Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD), yang menang besar pilihan raya tahun lalu, atas tuduhan melakukan penipuan.
Seorang wartawan AFP berkata, terdapat kehadiran polis yang ramai di sekitar perkarangan dewan Naypyidaw berhampiran dengan mahkamah, dengan sekatan di sepanjang jalan menuju ke kawasan itu.