TOKYO: Satu tinjauan terkini mendapati separuh penduduk Jepun mahu Sukan Olimpik diteruskan dalam tempoh berbaki tujuh minggu sebelum acara pembukaan temasya bermula.
Tinjauan yang dilakukan oleh akhbar Yomiuri Shimbun mendapati 50 peratus responden mahu temasya itu diteruskan dengan 48 peratus lain pula mahu penganjuran itu dibatalkan.
Bagaimanapun, tinjauan itu tidak meletakkan penangguhan sebagai pilihan jawapan.
Sebelum ini, tinjauan peringkat kebangsaan mendapati majoriti responden menentang penganjuran acara sukan berprestij itu semasa musim panas dan menyokong sama ada ditangguhkan atau dibatalkan.
Awal Mei lalu, tinjauan sama mendapati 59 peratus responden mahu acara sukan yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan itu dibatalkan dengan 39 peratus pula mahu diteruskan seperti yang sudah dirancangkan.
Kadar jangkitan Covid-19 di Jepun mula menyaksikan penurunan secara beransur-ansur, sementara langkah kecemasan tetap dilaksanakan di beberapa kawasan di Tokyo.
Program vaksinasi juga semakin giat dilaksanakan walaupun hanya lebih tiga peratus daripada populasi penduduk Jepun sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya. -AFP