KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda sepak takraw negara, Sahak Md Yassim yang meninggal dunia, semalam.
Istana Negara menerusi facebook rasminya, memaklumkan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada sukan sepak takraw negara.
“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Nuri, Johol, Negri Sembilan pernah mewakili negara dalam Sukan SEAP (Sukan SEA), Piala Emas Khir Johari, Piala Tuanku Abdul Rahman, Piala Tun Razak, Piala Tan Seri Jamil Rais dan Piala Raja Thai.
Allahyarham, yang merupakan bekas anggota tentera, beraksi sebagai apit kanan dalam skuad negara dan mewakili juga pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketika zaman kegemilangannya, dari tahun 1971 hingga 1979, Allahyarham merupakan legenda sepak takraw negara yang digeruni regu Thailand.
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai perunding Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSTM) pada tahun lepas.