KOTA BHARU | Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengampuni perkenan untuk mengambilkan tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang mengingkari titah perintah Sultan.
Perkara itu disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Abdul Aziz dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Tengku Mohamad Rizam berkata, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 121 Enakmen MAIK 1994.
“Perkara ini perlu dipertegaskan oleh kerana masih berlaku pelanggaran terhadap pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh MAIK khususnya
berkaitan dengan arahan aktiviti keagamaan di masjid, surau, musala, dan madrasah.
“Lebih mendukacitakan lagi apabila wujud kluster baharu dan penambahan kes sedia ada Covid-19 akibat ketidakpatuhan S.O.P yang dikeluarkan,” katanya.
Tengku Temenggong Kelantan berkata lagi, pihaknya amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam.
Tegas beliau, patuhi ketetapan yang telah dikeluarkan oleh MAIK.
“Seksyen 121 Enakmen MAIK 1994 bermaksud seseorang yang mengingkari, melanggar, membantah atau mengeji kewibawaan dan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Negeri ini, atau perintah Majlis, mana-mana jawatankuasa, Ahli-ahli, Pegawai-pegawainya, mana-mana Mahkamah,
pegawai-pegawai yang mengetuai Mahkamah, Penyelia Agama, pegawai-pegawai masjid, atau mana-mana orang yang diberi kuasa adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”
“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.