PETALING JAYA | Seorang anak perempuan kepada keluarga yang berasal dari Malaysia yang kini tinggal di Amerika Syarikat, Carmen Cai Yi Lee ditembak mati ketika memandu pulang di sebuah bandar kecil dekat Atlanta, Georgia.
Lapor Agensi yang memetik laporan Atlanta Journal-Constitution (AJC), Carmen dalam perjalanan pulang dari majlis makan-makan bersama rakannya pada 29 Mei ketika dia dipercayai dibunuh, hanya beberapa hari menjelang sambutan hari ulang tahunnya yang ke-25 iaitu pada 5 Jun.
Anak sulung dari tiga beradik itu yang dilahirkan setelah ibu bapanya berpindah ke Amerika Syarikat, ditemukan sudah tidak bernyawa di dalam keretanya oleh seorang anggota polis yang melakukan rondaan pada pukul 9.30 malam.
Laporan itu mengatakan terdapat sekurang-kurangnya 30 kes tembakan berlaku di jalan raya di Atlanta dan daerah sekitarnya dalam tahun ini.
Sebanyak 10 mangsa termasuk Carmen maut akibat ditembak ketika memandu atau menumpang kereta.
AJC melaporkan bahawa polis mengatakan bahawa banyak kes membabitkan kes buli jalan raya dan sebahagian besarnya belum dapat diselesaikan.
Polis mengharapkan maklumat daripada orang ramai bagi membantu dalam siasatan berhubung kematian Carmen.
Sehingga kini identiti penembak masih belum diketahui.
Teman lelakinya, Petrus Reyes memberitahu AJC bahawa mangsa pernah menyuarakan rasa takut dengan peningkatan jenayah dan keganasan senjata api di metro Atlanta.
Carmen bekerja sebagai penganalisis portfolio kewangan setelah menamatkan pengajian di University of Georgia pada tahun 2018 dengan ijazah dalam bidang kewangan.