By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Kira-kira 60 peratus daripada hampir 10,000 penduduk di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, di sini, belum mendaftar MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid 19.
Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Che Azmi Che Ali berkata, penduduk terbabit belum mendaftarkan diri disebabkan tidak mempunyai telefon mudah alih selain tidak faham menggunakan MySejahtera bagi memuat turun serta tidak mengetahui cara untuk mendaftar menggunakan aplikasi itu.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan diminta membuat program Outreach bagi membantu mempercepatkan proses pendaftaran untuk penduduk di kawasan berkenaan bagi mendapatkan
suntikan vaksin Covid 19.
“Hasil tinjauan penduduk di kawasan Pulau Gajah itu kebanyakkannya bekerja sebagai nelayan dan mereka bersemangat mahu menerima suntikan vaksin Covid 1 .
“Cuma penduduk tidak tahu cara untuk mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera dan mengharapkan ada program Outreach di kampung mereka bagi membantu proses pendaftaran dengan mudah dan cepat, ” katanya hari ini.
Che Azmi berkata, pihaknya memahami kekangan tertentu yang dihadapi oleh penduduk berkenaan dalam mendaftar diri sebagai penerima vaksin Covid 19.
Malah katanya, program outreach yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dilihat lebih berkesan serta mudah untuk membantu penduduk yang tidak mempunyai akses jalur lebar selain tidak ada telefon mudah alih bagi mendaftar MySejahtera sebagai penerima vaksin.
Sementara itu, peniaga ikan di Pasar Kampung Pulau Gajah, Che Hassan Che Soh, 61, berkata, dia belum mendaftar sebagai penerima vaksin Covid 19.
“Pakcik tak daftar lagi, nanti tukar nombor telefon sendiri baru daftar MySejahtera. Sekarang ni guna telefon atas nama anak,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Asmah Jaafar berkata, dia mahu mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid 19 tetapi masih belum berbuat demikian.
Katanya, dia akan mendaftar segera MySejahtera dengan dibantu ahli keluarganya kerana tidak memahami cara untuk membuat pendaftaran melalui aplikasi itu.
“Memang nak cocok vaksin sebab tengok ramai orang yang sudah dapatkan suntikan vaksin,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sebelum ini dilaporkan berkata, program Outreach Vaksinasi akan diperluaskan atau khdimat masyarakat di setiap jajahan di negeri ini bagi memudahkan penduduk mendaftar untuk mendaptkan suntikan vaksin Covid 19.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin dipetik sebagai berkata, program itu akan melibatkan kerjasama daripada Ketua Jajahan dan agensi berkaitan. – JOURNAL MALAYSIA