KUANTAN | Tentera Laut Diraja Malaysia berjaya mengusir beberapa buah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara serta berjaya menahan sebuah bot terbabit.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, Lumut Perak, dalam satu kenyataan berkata, bot nelayan asing tersebut pada mulanya telah dikesan melalui radar KD LEKIU.
“Bot nelayan yang berjaya ditahan didapati membawa 21 orang awak-awak warganegara Vietnam berumur lingkungan 20 hingga 32 tahun.
“Mereka yang didapati membuat penangkapan ikan secara haram, tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan yang sah. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM 1.2 juta,” katanya.
Kenyataan itu berkata, TLDM telah mengaturgerakkan dua buah Fast Combat Boat (FCB) yang membawa Quick Reaction Team (QRT) dari Markas Wilayah Laut 1 telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian lebih kurang 60 batu nautika dari Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang.
Katanya, FCB diaturgerak bagi mengusir serta memintas beberapa buah bot nelayan asing di kawasan tersebut.
“FCB baharu milik TLDM sekali lagi membuktikan keupayaan dalam memerangi ancaman bukan tradisional di perairan negara. Bermula dengan kejayaan pengoperasian aset ini pada kejadian cubaan menyeludup barangan terlarang di perairan Teluk Ramunia dan penahanan bot nelayan asing di perairan Pulau Tioman, pada 1 dan 4 Jun lalu,
“FCB yang dibina oleh syarikat tempatan dalam tempoh 5 bulan di Lumut, Perak ini dilengkapi dengan beberapa kriteria penting sebuah bot pemintas seperti sistem dorongan water jet yang mampu mencapai kelajuan sehingga 50 knot dan sistem pengesanan yang canggih.
“FCB ini turut dilengkapi dengan keupayaan pengawasan pada waktu malam, kamera Forward Looking Infrared (FLIR) dengan lensa sehingga 30x optical zoom dan Automatic RADAR Ploting Aid (ARPA). FCB boleh dioperasikan dengan QRT bagi melaksanakan sebarang operasi penggeledahan.
Menurut kenyataan itu lagi, pembinaan FCB ini menunjukkan pemain industri maritim tempatan mampu menghasilkan produk setanding antarabangsa.
Ujarnya, perolehan aset berkenaan memainkan peranan penting dalam operasi pemintasan, rondaan pesisir pantai dan sebagai aset sokongan terhadap keperluan operasi maritim yang lain.
“ATM khususnya TLDM tidak akan berkompromi dalam sebarang aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.
“TLDM juga akan sentiasa memperkasakan kesiagaan aset-aset demi kedaulatan perairan negara serta akan meneruskan kerjasama yang padu bersama Agensi-agensi Penguatkuasaan dan Keselamatan yang lain,” katanya.