KUALA LUMPUR | Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara merekodkan jumlah tertinggi bagi tahun ini iaitu seramai 1,214 individu ditahan kelmarin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 1,107 individu dikompaun manakala 107 direman.
“Antara kesalahan direkodkan, tiada penjarakan fizikal sebanyak 267, tidak memakai pelitup muka (224), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (158), tidak mematuhi arahan PKP (134), membawa penumpang berlebihan (103), aktiviti pusat hiburan (24) serta 304 bagi lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumlah itu mengatasi angka tertinggi sebelum ini iaitu 987 individu ditahan yang direkodkan pada Khamis lalu.