KOTA BHARU | Kerajaan Negeri Kelantan memberi sumbangan RM500,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), bagi menaik taraf kelengkapan sistem ‘electrophysiology study’ di Unit Kardioiogi.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri juga menyampaikan sumbangan enam unit penghawa dingin kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk kegunaan pasukan bergerak (mobile team) Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Negeri Kelantan.
Katanya, dengan adanya sistem ini, rawatan jantung khasnya perkhidmatan ‘Electrophysiology’ kepada pesakit yang memerlukan dapat diberikan dengan lebih cepat dan berkesan tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan di luar Kelantan.
“Dengan menaik taraf sistem itu, diharap akan dapat mengurangkan kadar mortaliti dan morbiditi pesakit jantung.
“Selain itu, program suntikan vaksin secara bergerak dapat dilakukan di kampung dan kawasan tumpuan orang ramai,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sumbangan itu dapat membantu menambahkan keselesaan petugas-petugas barisan hadapan dalam usaha menyegerakan jumlah suntikan vaksin di kalangan rakyat Kelantan seterusnya mencapai imuniti berkelompok.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan kesihatan di negeri Kelantan dititik beratkan agar ia memberikan manfaat yang besar kepada rakyat.
“Semoga semua usaha ini diberkati dan sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya.-JOURNAL MALAYSIA