KUALA LUMPUR | Kerajaan tidak menetapkan atau mengawal harga minyak masak dalam botol kerana ianya tidak bersubsidi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, kerajaan hanya menetapkan harga minyak masak bersubsidi.
Katanya, minyak masak tersebut dijual didalam pek polibeg satu kilogram (kg) berharga RM2.50.
“Harga minyak sawit mentah ditentukan oleh pasaran dunia, ada turun dan ada masanya naik. Pada masa ini harga di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4,300 metrik tan (berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2,500 metrik tan sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.30 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.
“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM21 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit.
Kenyataan itu berkata, kualiti minyak sawit bersubsidi dalam pek polibeg 1kg adalah sama sahaja dengan minyak sawit dalam botol.
Malah katanya, Kerajaan memperuntukkan berjuta ringgit dalam bentuk subsidi untuk membolehkan minyak masak dalam pek polibeg dijual dengan harga RM2.50.
“Untuk tahun ini sahaja, sekitar 60,000 tan metrik setiap bulan diperuntukkkan bagi kegunaan rakyat Malaysia. Itu bersamaan dengan 60 juta polibeg 1kg sebulan atau 1.8kg minyak sawit untuk setiap rakyat Malaysia setiap bulan.
“Pengguna minyak masak di Malaysia mempunya pelbagai pilihan. Terpulang citarasa dan bajet masing-masing dalam memilih jenis minyak masak, yang penting, utamakan kualiti dan nilai.
“Sila gunakan apps Price Catcher untuk mengetahui dan membanding harga minyak masak tidak bersubsidi di premis perniagaan berdekatan dengan rumah anda,” katanya.