KUALA LUMPUR | Kementerian Pengangkutan akan membentangkan laporan berkenaan insiden pelanggaran tren aliran ringan (LRT) yang berlaku pada 24 Mei lalu dalam mesyuarat Kabinet esok.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, laporan tersebut dibentangkan secara maya kepadanya oleh Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan.
“Saya berpuas hati dengan laporan oleh Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan anggota, diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.
“Laporan tersebut dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya, dan dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka,” katanya menerusi Facebook miliknya.
Beliau berkata, pasukan Jawatankuasa Siasatab terbabit sudah berusaha sehabis baik dalam menyediakan laporan berkenaan insiden tersebut.
Katanya, pasukan terbabit bertungkus-lumus siang dan malam turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya membuat simulasi di tempat kejadian.
“Saya berharap dapat membentangkan dapatan laporan ini kepada Kabinet pada hari esok (Rabu) dengan beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan prosedur operasi standard untuk tren RapidRail.
“Pada ketika ini, saya masih meneliti dokumen-dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan.
“Bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan RapidRail, tetapi penemuan dan cadangan ini juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang di masa hadapan,” katanya.