KOTA BHARU | Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengatur gerak dengan lebih agresif apabila menjadikan masjid sebagai salah satu lokasi program ‘outreach’ vaksinasi kepada penduduk setempat.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, langkah itu dibuat dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam usaha memberikan vaksin kepada masyarakat setempat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program di Masjid Sultan Ismail Petra, Mukim Banggol. Hari ini merupakan hari pertama program ini dan kita sasarkan seramai 700 penduduk setempat akan disuntik dalam masa tiga hari.
“Walaupun kita adakan program vaksinasi di masjid, namun ianya terbuka kepada semua pihak termasuk bukan muslim,” katanya.
Beliau berkata, JKNK merancang sekurang-kurangnya 31 outreach di 10 daerah di negeri itu.
Katanya, program tersebut untuk memudahkan masyarakat setempat selain keberkesanannya amat tinggi.
“Program ini melibatkan ketua masyarakat seperti Penggawa, Penghulu dan Imam dan setakat ini boleh dikatakan 100 peratus hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Bilangan outreach yang dilakukan ini tidaklah tetap kerana kita akan sentiasa berbincang dengan Ketua Jajahan, penggawa atau ketua masyarakat untuk pastikan lokaliti dan lokasi yang sesuai,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kecukupan tenaga kerja, Dr Zaini berkata, ianya tidak menjadi isu kerana pihaknya menggunakan staff teknikal yang minimum.
Katanya, sebahagian besar yang terlibat dengan outreach terdiri daripada sukarelawan.
“Sekarang, kita menyuntik lima hingga enam ribu sehari di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan juga outreach.
“Dan kapasiti kita boleh mencapai sehingga 10,000 suntikan sehari dan Insya-Allah kita mempunyai kakitangan yang cukup,” katanya.