KUALA LUMPUR | PAS menyeru semua pemimpin berhenti berpolitik ketika kerajaan sedang berusaha melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di negara ini.
Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, sepanjang tempoh darurat diperkenankan, lebih RM340 bilion telah diperuntukkan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi bagi meneruskan kelangsungan hidup rakyat.
“Jadi hentikanlah budaya polictiking dalam fasa yang genting ini. Desakan agar Pilihan Raya Umum diadakan atau membubarkan kerajaan yang sedia ada adalah satu tindakan yang bakal mengeruhkan lagi keadaan.
“Malah ianya akan mengganggu fokus utama semua pihak dalam menangani wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, masih ramai yang tidak jelas peranan darurat untuk melindungi negara daripada mudarat yang lebih besar.
Katanya, antara peranan utama adalah supaya sistem kesihatan dapat dijalankan secara menyeluruh kerana ia membuka lebih banyak peluang yang tidak tersedia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kesannya, prosedur untuk para doktor dipindahkan mengikut keperluan semasa di setiap hospital lebih mudah. Malah, peminjaman ubat-ubatan yang diperlukan untuk melawan wabak Covid-19 juga dapat disegerakan. Hal ini sangat memudahkan urusan petugas barisan hadapan menyelamatkan nyawa rakyat.
“Seterusnya, dalam tempoh darurat, sebarang bentuk Pilihan Raya tidak akan diadakan demi kemaslahatan menjaga nyawa rakyat yang lebih utama. Tidak mustahil peningkatan mendadak kes Covid-19 berlaku seperti yang terjadi semasa PRN Sabah lalu,” katanya.
Kamaruzaman berkata, namun, ia tidak menghalang hak demokrasi di negara kerana masih ada kuasa semak dan imbang antara badan eksekutif dengan kuasa rakyat secara tidak langsung.
Katanya, selain itu peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 diperkenan Yang Dipertuan Agong yang dibarisi pakar-pakar dalam segenap bidang termasuklah wakil kerajaan dan pembangkang didalamnya.
“PAS memuji kebijaksanaa YDPA dalam menangani krisis politik ketika Pakatan Harapan memerintah.
“Keputusan YDPA itu memberi impak yang besar kerana berjaya menyelamatkan pentadbiran negara daripada terus menerus dirosakkan oleh individu yang hanya mempunyai kepentingan tersendiri,” katanya.