SYDNEY | Beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang berjaya menahan ratusan penjenayah di seluruh dunia dalam satu operasi yang dijalankan selama tiga tahun.
Lapor Agensi yang memetik BBC, operasi yang dirancang bersama Australia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) itu, menggunakan aplikasi dikenali sebagai ANOM.
Aplikasi ANOM membenarkan polis memantau perbualan telefon penjenayah tanpa pengetahuan mereka.
Kira-kira 9,000 pegawai polis di seluruh dunia terlibat dalam operasi tersebut.
Operasi itu juga membawa kepada penahanan di 18 negara.
Penahanan itu termasuk suspek yang mempunyai kaitan dengan mafia dan kumpulan jenayah terancang.
Dalam operasi tersebut, dadah, senjata dan wang tunai juga dirampas.
Dalam pada itu, kerajaan Australia memaklumkan negaranya berjaya menahan seramai 224 individu dalam operasi tersebut.
“Operasi tersebut menyasarkan jenayah terancang bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia,” kata Perdana Menteri, Scott Morrison dalam satu sidang akhbar.
Kerajaan New Zealand pula memaklumkan pihaknya sudah menahan 35 orang dalam operasi terbabit.
Negara itu menyifatkan operasi tersebut sebagai tindakan penguatkuasaan undang-undang paling canggih di dunia terhadap jenayah terancang setakat ini.