KUNDUZ | Sekurang-kurangnya 10 kakitangan agensi pembersihan jerangkap samar ditembak mati pejuang Taliban di wilayah Baghlan, utara Afghanistan.
Lapor AFP, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tareq Arian, hari ini mengesahkan serangan terbaru kumpulan pengganas itu.
“Anggota Taliban memasuki kawasan agensi pembersihan jerangkap samar dan mula menembak semua yang ada di situ,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, jurucakap Gabenor Baghlan, Jawed Basharat, memberitahu AFP bahawa serangan itu berlaku lewat malam tadi di kawasan yang dikawal oleh tentera kerajaan dan kumpulan penyerang itu dikatakan memakai topeng muka.
Afghanistan adalah antara negara yang paling banyak dipasang jerangkap samar di dunia, tinggalan konflik berdarah yang berlanjutan selama beberapa dekad.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berlaku pertempuran sengit di wilayah Baghlan, kebanyakannya membabitkan Taliban dan tentera kerajaan di beberapa daerah.
Keganasan terus meningkat di seluruh Afghanistan sejak 1 Mei lalu susulan tentera Amerika Syarikat (AS) memulakan pengunduran pasukan terakhirnya.
Beberapa daerah menyaksikan pertempuran bertambah tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan pemberontak memasang bom tepi jalan dan jerangkap samar menyasarkan tentera kerajaan.
Bagaimanapun, serangan itu sering mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam.