KUALA LUMPUR | Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) diharap dapat memberikan penjelasan secara mendalam mengenai moratorium kepada golongan M40 yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan maklum balas yang diterimanya, ramai golongan M40 termasuk usahawan dan profesional semakin tertekan dan terdesak untuk mendapatkan bantuan.
“Ramai yang mengharapkan moratorium menyeluruh seperti yang dibuat pada tahun lalu… Bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mikro, mereka tiada masalah (untuk mendapatkan moratorium), tetapi bagi M40 yang terkesan, mengalami kekurangan pendapatan, mereka juga boleh memohon dan pihak bank sudah beri jaminan bahawa ia boleh diluluskan.
“Pihak bank perlu mencari kaedah yang lebih tuntas dalam memberikan pencerahan (mengenai moratorium),” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Bicara Politikonomi – ‘Lockdown dan Ekonomi Negara’ di saluran televisyen TV1 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Selasa.
Beliau berkata, pihak bank juga mungkin boleh menyediakan ‘helpdesk’ bagi kes tertentu supaya mereka yang terkesan dan tidak ada pertimbangan lain dapat membuat aduan.
“Sudah pasti yang terbaik ialah moratorium automatik, yang tidak membabitkan karenah birokrasi.
“Saya berharap bank akan cuba membantu golongan yang terkesan (yang tidak mendapat moratorium secara automatik) dan yang patut ditolong ini,” katanya.
“Pandangan itu adalah di kala bank-bank di negara ini secara amnya melaporkan keuntungan yang memberangsangkan,” katanya.
Mustapa berkata, meskipun pemulihan ekonomi dijangka bertambah baik sejak akhir tahun lalu, namun dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, keadaan kembali ‘parah’ kerana kebanyakan perniagaan tiada lagi simpanan tunai atau mendapat bantuan lanjut.-BERNAMA