SINGAPURA | Seorang bekas guru agama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan Daesh.
Lapor Agensi, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), hari ini berkata suri rumah warga Singapura, Ruqayyah Ramli, 34, ditarbiah secara radikal oleh suaminya, yang sebelum ini ditangkap atas kesalahan sama.
Februari lalu, ISD berkata suami Ruqayyah, Mohd Firdaus Kamal Intdzam, seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pembersih di Singapura, ditangkap di bawah ISA pada Julai tahun lalu dan diusir pulang ke Malaysia.
Ruqayyah menolak kaunseling agama selepas penahanannya dan enggan meninggalkan haluan radikal yang dipilihnya. Dia yang ditahan pada April lalu, dikenakan perintah larangan (RO) di bawah ISA pada Ogos tahun lalu, selepas suaminya ditahan di bawah akta sama.
“Sejak ditempatkan di RO, terdapat peningkatan dalam perlakuan radikal Ruqayyah dan pembabitan dalam kegiatan yang memudaratkan keselamatan Singapura.
“Dia enggan mengambil bahagian dalam program pemulihan dan berpegang teguh kepada kepercayaan radikalnya.
“Dia terus mendukung tindakan ganas Daesh dan percaya kepada penggunaan kekerasan terhadap apa yang difikirkannya sebagai musuh Islam,” kata ISD.
Tambah ISD, Ruqayyah terus berhubung dalam talian dengan penyokong Daesh di luar negara, yang yang juga rakan suaminya, sekali gus melanggar syarat RO.
“Oleh itu, dia ditahan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan lebih radikal lagi,” tambah ISD.
Ruqayyah mendapat tauliah oleh Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) pada September 2017, tetapi kini sudah digantung.
Sementara itu, ISD mendapati Firdaus menganggap Abu Bakar al-Baghdadi, yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemimpin Deash, adalah pemerintah Islam sebenar.
Dia tetap menjadi penyokong kuat Daesh dengan menyiarkan bahan yang mempromosikan kumpulan itu dan jihad bersenjata di akaun media sosialnya.
Malah, Firdaus membuat bendera Daesh pada Mac tahun lalu dan menggantungnya di rumah untuk menunjukkan kesetiaan terhadap kumpulan itu.