KOTA BHARU | Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah menjalankan latihan sanitasi di lebih 2,000 premis di negeri ini dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Pengarahnya, Zainal Madasin, berkata latihan itu termasuk di empat premis pengamal media membabitkan pejabat Media Prima, RTM, Harakah dan Bernama dengan kerjasama Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI).
Katanya, usaha ini dibuat bagi mengajar masyarakat melakukan sanitasi sendiri terutama di kediaman untuk memastikan tahap kebersihan terjamin.
“Hari ini kita membuat latihan ini bagi memberi tunjuk ajar bagaimana nak mengatasi (wabak Covid-19) kepada agensi kerajaan, misalnya media kerana mereka juga berperanan sebagai ‘frontliner’.
“Kalau kesihatan lumpuh, maka ia menjejaskan banyak perkara, begitu juga jika penyiaran lumpuh, banyak maklumat tidak dapat disiarkan secara tepat.
“Keadaan ini akan menyebabkan banyak penularan maklumat palsu yang mengambil tempat sebagai media kerajaan. Jadi, kita harus menjaga keselamatan dan jaga prosedur operasi standard (SOP) demi memastikan pandemik ini berakhir dengan cepat,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Melalui program ini, pengamal media diajar bagaimana membuat sendiri campuran bahan bagi sanitasi di pejabat serta mendapatkan peralatan sesuai.
Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di negeri ini, angka yang meninggal dunia meningkat mendadak apabila seramai 250 jenazah sudah diuruskan sejak Januari hingga semalam.
“Jumlah kematian itu menunjukkan peningkatan ketara kerana pda tahun lalu hanya 12 jenazah pesakit Covid-19 diuruskan.
“Namun pada kali ini, kita pernah menguruskan 10 jenazah Covid-19 di beberapa daerah di negeri ini dalam masa satu hari,” katanya.