KOTA BHARU | Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan menguruskan 262 jenazah pesakit COVID-19 di negeri ini dari Mac tahun lalu sehingga semalam.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, jenazah COVID-19 yang dicatatkan itu menunjukkan peningkatan ketara apabila tahun lalu hanya 12 jenazah pesakit COVID-19 yang diuruskan.
Katanya, berlaku peningkatan tahun ini apabila pihaknya pernah menguruskan seramai 10 jenazah COVID-19 di beberapa daerah di negeri ini dalam masa satu hari.
“Pengurusan jenazah ini dilakukan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pihak kita akan terus bekerjasama dengan KKM untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Waris pesakit tidak mampu menguruskan jenazah COVID-19 kerana risau dengan keselamatan diri. Namun, pada masa akan datang, pihak kita bercadang untuk bekerjasama dengan pewaris pesakit untuk membantu mereka menguruskan jenazah COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses sanitasi di Pejabat New Straits Times Press (NSTP) di sini, hari ini.
Zainal berkata, pengurusan jenazah COVID-19 itu adalah satu tanggungjawab kepada masyarakat yang menimbulkan keinsafan.
Pada perkembangan yang lain, beliau berkata, setakat ini lebih 2,000 premis yang sudah disanitasi di negeri ini.-JOURNAL MALAYSIA