KUALA LUMPUR | Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewajarnya dihargai semua pimpinan politik dan tidak disalah gunakan oleh pemimpin yang gilakan kuasa.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, sebarang usaha menimbulkan provokasi dan ketidakpercayaan kepada YDPA seperti yang dimainkan sesetengah parti politik, adalah suatu tindakan derhaka dan khianat.
“Berikan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan KDYMM Tuanku, serta perbincangan bersama Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang turut dianggotai 3 Ahli Parlimen Pembangkang untuk menentukan samada perlunya darurat diteruskan atau tidak.
“Pemuda PAS memberi amaran kepada mana-mana ahli politik yang ingin menyalahgunakan peluang ini untuk mendapatkan kuasa, jangan berani bertindak bodoh sehingga menggugat kesejahteraan dan keamanan negara dalam tempoh pandemik ini.
“Pemuda PAS turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha YDPA serta mendoakan kesejahteraan dan keamanan negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, pertemuan YDPA dengan pemimpin-pemimpin parti politik adalah suatu perkara yang jarang berlaku di zaman pemerintahan sebelum ini.
Katanya, namun, ianya telah menjadi kelaziman bagi Baginda untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti politik khususnya dalam isu melibatkan politik dan pemerintahan negara.
“Sebelum ini juga, Baginda telah mengadakan pertemuan yang sama semasa negara menghadapi kemelut politik, sehingga atas kebijaksanaan dari tindakan Baginda, akhirnya penyelesaian ditemui dan kemelut dapat dihentikan.
“Dalam hal ini, Pemuda PAS merakamkan sembah takzim atas kebijaksanaan YDPA dan tindakan ini sewajarnya dipuji, serta menunjukkan hikmah dan sifat kepimpinan KDYMM Tuanku yang sangat mementingkan permusyawaratan dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku,” katanya.