TUMPAT | Kampung (kg) Kutan Tengah dan Kg Ketil di Tumpat, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berikutan peningkatan kes di kedua-dua lokasi itu.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes di lokaliti ini apabila sebanyak 75 kes positif direkodkan hasil daripada 130 ujian saringan di Kg Kutan Tengah dan 47 kes positif dari 171 ujian saringan di Kg Ketil.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kedua-dua lokaliti ini bermula 11 Jun sehingga 24 Jun 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes-kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan tempoh PKPD di FELDA Tersang 1,2 dan 3, Raub, Pahang yang dijadualkan tamat pada esok akan dilanjutkan.
Katanya, KKM telah melakukan 525 ujian saringan dan 19 daripadanya dilaporkan positif COVID-19.
“Namun, KKM mendapati masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk, selain kes baru direkodkan dan pada masa sama, terdapat 217 lagi ujian saringan sedang menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di FELDA Tersang 1,2 dan 3, Raub, Pahang bermula 11 Jun sehingga 24 Jun depan,” katanya.