KUALA LUMPUR | Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mencatatkan nilai dagangan RM88.3 bilion bagi tempoh Januari hingga April lalu.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, nilai itu dicatat bagi sektor agrikomoditi yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM34.2 bilon.
Katanya, pendapatan eksport produk agrikomoditi merekodkan RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
“Pendapatan ini mencatatkan pertumbuhan positif iaitu sebanyak 66.5 peratus berbanding RM40.9 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini disebabkan kenaikan ketara harga agrikomoditi utama dalam tempoh empat bulan. Produk berasaskan getah menjadi penyumbang utama iaitu 43.9 peratus.
“Sektor ini menjadi penyumbang memberangsangkan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 175 peratus atau RM29.9 bilion,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, peningkatan ini disebabkan lonjakan produks berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang merekodkan peningkatan dua kali ganda iaitu 257.6 peratus kepada 24.5 bilion berbanding RM6.9 bilion tempoh yang sama tahun lalu.
Menurutnya, kuantiti eksport sarung tangan getah meningkat 12.8 peratus kepada 349,100 tan berbanding 309,400 tan tempoh sama tahun lalu yang didorong permintaan tinggi bagi sektor kesihatan.
“Produk berasaskan sawit adalah 40.6 peratus iaitu peningkatan sebanyak 29.5 peratus atau RM27.6 bilion yang mencatatkan penurunan 4.5 peratus kepada 7.2 juta tan berbanding tahun sebelumnya 7.6 juta tan.
“Produk kayu kayan penyumbang ketiga terbesar sebanyak 12.2 peratus. Manakala eksport produk koko RM2.2 bilion dan lada RM42.1 juta.
“Kementerian yakin prestasi perdagangan akan kekal positif untuk baki tahun ini. KPPK percaya melalui suntikan dana tambahan oleh kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+ akan merancakkan pembangunan industri agrikomoditi negara,” katanya.-JOURNAL MALAYSIA