KOTA BHARU | Kalau warga emas berusia 76 tahun sanggup mengambil suntikan vaksin, bagaimana dengan kumpulan muda belia, apa alasan kita untuk menolak inisiatif percuma disediakan kerajaan bagi suntikan vaksin.
Mungkin dengan tersebarnya pelbagai cerita tidak sedap berlegar di media sosial menjadi salah satu sebab kita ragu-ragu untuk suntik vaksin.
Namun semua itu alasan tidak konkrit buat kita yang muda belia, disebabkan apa? Jawapnya masing-masing mempunyai telefon pintar dan boleh mencari maklumat sahih daripada kerajaan tentang vaksin dan betapa bahayanya Covid-19.
Sedangkan Wan Zainab Wan Ahmad berumur 76 tahun ini bersemangat dan tidak sabar untuk disuntik dos pertama di sini semalam meskipun pada awalnya ‘takut-takut’.
Wan Zainab ibu enam anak itu berkata, rasa gerun dan takut itu hilang apabila dia mendapat maklumat yang tepat berkait dengan vaksin berdasarkan pemakluman Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Tiada siapa yang paksa makcik suntik vaksin. Anak-anak pun tak paksa.Makcik sendiri nak suntik untuk lindungi diri makcik
“Tak sakit pun, pakat pakat lah cucuk vaksin… Lepas 10 minit pun takdop rasa apa lagi nih. Jangan bimbang marilah cucuk vaksin belako.
“Apa yang kerajaan buat untuk kebaikan semua. Sekarang pun mudah boleh suntik di masjid,” katanya.
Wan Zainab antara 200 penduduk DUN Kijang yang bertuah boleh mendapatkan suntikan vaksin secara percuma di Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol di sini dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Sementara itu, Sauda Mohd Zain, 59, berkata, ibunya itu tidak sabar untuk datang mendapatkan suntikan sebab dia tahu betapa pentingnya vaksin untuk pelindung diri.
“Setiap hari ibu tanya tarikh dia nak kena cucuk. Dia takut terlepas,” katanya.
Pesara guru itu juga menasihatkan masyarakat umum untuk segara bervaksin kerana setiap apa yang dilakukan kerajaan adalah terbaik buat rakyat.