KUALA LUMPUR | Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM80.6 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku tahun pertama tahun ini.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia menunjukkan lonjakan sebanyak 95.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu iaitu
RM41.2 bilion.
Katanya, ia hasil daripada strategi agresif yang berterusan bagi menarik pelaburan peringkat tinggi dari pelabur asing dan domestik.
“Pelaburan yang diluluskan ini melibatkan 993 projek dan dijangka menghasilkan 32,557 peluang pekerjaan.
“Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan yang kompetitif bagi pelabur asing walaupun terdapat banyak halangan di peringkat global.
“Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama meningkat 383.4 peratus kepada RM54.9 bilion untuk tempoh Januari hingga Mac lalu daripada RM11.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.-JOURNAL MALAYSIA
Tamat.