KUALA LUMPUR | Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sentiasa merungut mengenai langkah yang dibuat Kerajaan adalah mahu mengalihkan perhatian rakyat agar lupa akan gelaran ‘Plundering Idiot’ yang diberikan kepadanya oleh media Antarabangsa.
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Najib perlu menukar stategi agar rakyat lupa bahawa dia sudah didapati bersalah oleh mahkamah.
Katanya, disebabkan itu Najib gunakan ‘taktik’ merungut dengan menuduh orang lain buruk.
“Seperti dijangka bekas Perdana Menteri Najib Razak merungut selepas saya komen mengenai kesan positif daripada ‘lockdown’. Malah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi sebagai pengikut yang taat, serta-merta menyambung rungutan Najib. Ya lah kan… tauke besar dah bercakap, mesti lah kena sambut.
“Dalam komen saya katakan bahawa kita mula melihat kesan positif daripada pengumuman lockdown oleh kerajaan.
“Tetapi ‘tag-team’ Najib-Asyraf ini mengubah topik menuduh Tan Sri Muhyiddin (Perdana Menteri) tidak mahu lockdown. Padahal (Tan Sri) Muhyiddin tidak mahu lockdown yang meranapkan ekonomi,” katanya menerusi Facebook miliknya.

Wan Saiful berkata, petikannya sengaja di ambil sekerat-sekerat oleh Najib dan Asyraf bagi mengubah topik.
Katanya, mereka perlu tahu selepas meneliti data yang terkini dan mencari keseimbangan antara kesihatan dan kesejahteraan ekonomi, lockdown telah diisytiharkan.
“Strategi mengubah topik ini sudah menjadi kebiasaan kluster merungut. Tidak sukar kita fahami kenapa Najib Razak sebagai ketua perungut kebangsaan perlu sentiasa mengubah topik.
“Najib perlu rakyat lupa gelaran Plundering Idiot yang dianugerahkan media antarabangsa kepadanya selain melupakan yang beliau didapati bersalah oleh mahkamah dan sekarang tengah merayu.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu terus mara ke hadapan. Tumpuan mesti dipasakkan kepada pengurusan COVID-19, terutama dalam menyeimbangkan tuntutan kesihatan dengan tuntutan ekonomi rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai mencari keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi, Wan Saiful berkata, amat penting untuk kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta terkini.
Katanya, fakta berubah-ubah hampir setiap hari, jika beberapa hari lepas bilangan kes baru tinggi, hari ini bilangan kes baru rendah pula.
“Sudah semestinya kita mahu kerajaan yang cakna dan membuat keputusan berdasarkan data dan fakta terkini. Jika sebelum ini kita tidak mahu adakan sekatan, mungkin ada masa nanti berubah pandangan dan mahukan sekatan ketat pula sebab fakta berubah.
“Jika sebelum ini SOP ketat, mungkin kita akan berubah dan mahukan kelonggaran sebab data pada masa itu sudah berbeza,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tinggi BERSATU, rakyat mahu kebebasan dikembalikan secepat mungkin supaya boleh terus mencari rezeki untuk diri dan keluarga.
Katanya, kerajaan pula mahu pastikan wabak tidak semakin buruk dengan cara mengarahkan sekatan di sana sini.
“Dalam mencari keseimbangan ini, ada masa keputusan memihak kepada kebebasan individu, ada masa kepada sekatan kerajaan, dan ada kala ia berubah-ubah. Memang itu yang sewajarnya.
“Perubahan proses dan peraturan bukan masalah. Yang menjadi masalah ialah jika tidak ada apa-apa yang berubah walaupun data baru diperolehi. Itu melambangjan kerajaan tidak cakna perubahan suasana yang berlaku begitu sebaliknya.
“Bagaimanapun, kita mesti berlaku adil dan akui bahawa memang ada beberapa perkara yang sebelum ini kurang koordinasi sehingga menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Ujarnya, kerajaan dilihat telah menerima teguran ini dengan baik dan ada pembaikan yang telah dilakukan.