KUALA LUMPUR | PAS terus beristiqamah bersama dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan.
“Setelah membentuk kerajaan PN mengikut lunas demokrasi, PAS yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal, kerana parti ini meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan.
“Secara khusus, PAS memahami keadaan darurat pandemik COVID-19 dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara,” katanya menerusi Facebook miliknya.
Beliau berkata, namun masih lagi terdapat dalam kalangan rakyat yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi.
“Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana COVID-19 yang sebegini rupa.
“Rasulullah SAW membandingkan kumpulan ini laksana mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera, di mana mereka ingin menebuk kapal daripada bawah kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera. Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat,” katanya.