KUALA LUMPUR | Statistik menunjukkan penurunan jumlah kes positif COVID-19 pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 iaitu sebanyak 1,379 kes (penurunan sebanyak 2.6 peratus) berbanding ME ke-21.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh kerajaan bermula pada 12 Mei lalu.
Katanya, dalam tempoh yang sama, jumlah kes aktif didapati terus meningkat berikutan peningkatan kes yang mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21.
“Pada awal ME ke-21 (23 Mei) jumlah kes aktif adalah sebanyak 57,022 kes dan pada awal ME ke-22 (30 Mei), ia meningkat kepada 78,017 kes dan peningkatan sebanyak 20,995 kes (37 peratus).
“Walaupun ada penurunan 2.6 peratus kes mingguan, namun jumlah kes aktif masih terus meningkat. Pada 8 Jun, jumlah kes aktif COVID-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82,797 kes,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, sehingga 6 Jun, kadar penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 bukan unit rawatan rapi (ICU) di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu, iaitu dari 99 peratus kepada 89 peratus.
Katanya, kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) adalah sebanyak 54 peratus.
“Walau bagaimanapun, kadar penggunaan katil COVID-19 di ICU meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei hingga 104 peratus pada 6 Jun.
“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya.-JOURNAL MALAYSIA