KUALA LUMPUR | Hospital di seluruh negara sedang berhadapan dengan peningkatan kes COVID-19 bergejala serius bagi kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan.
Ia khususnya di kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19.
“Statistik yang diterima oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori empat adalah di antara 14 ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori lima, tempoh rawatan adalah selama 19 ke 26 hari.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan semua pihak bahawa situasi penularan COVID-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius.
“Bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital terutama unit rawatan rapi (ICU) bagi menampung kes COVID-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, KKM mengingatkan masyarakat untuk sentiasa duduk di rumah, patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM, jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau kontak kepada kes positif.
Katanya, sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
“Bawa keputusan ujian dan hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan di daerah anda untuk penilaian lanjut.
“Semua perlu berperanan menjadi agen perubahan di dalam komuniti dan mengambil tanggungjawab bersama agar kesinambungan kehidupan normal dapat dikecapi semula dengan kadar segera,” katanya.-JOURNAL MALAYSIA