JOHOR BAHRU | Rakyat diingatkan jangan mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin yang dipelopori pihak tertentu, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Lapor HarakahDaily, baginda bertitah, rakyat perlu memahami tujuan pengambilan vaksin untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus mengancam kesihatan orang ramai.
Titah baginda, Islam mengajar supaya sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan daripada apa jua kemudaratan khususnya wabak penyakit.
“Kaedah dalam menentukan hukum hakam ada menegaskan bahawa membanteras keburukan adalah lebih utama daripada membawa sesuatu kebaikan.
“Janganlah kita mendengar cerita karut yang disebarkan puak anti-vaksin. Dapatkan vaksin demi keselamatan diri dan untuk imuniti kelompok agar penularan Covid-19 dapat dicegah,” titah baginda seperti disiar laman Royal Press Office (RPO) hari ini.
Baginda menambah, mereka yang menolak tanpa sebab munasabah vaksin Covid-19 seolah-olah merelakan diri dijangkiti wabak yang amat berbahaya berkenaan.
Sedangkan titah baginda vaksin Covid-19 yang disediakan kerajaan sudah difatwakan halal Jawatankuasa Fatwa.
“Islam tidak membenarkan umatnya berserah bulat-bulat kepada takdir yang akan menimpa tanpa sebarang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkannya.
“Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin, jangan leka akan pematuhan SOP pula,” titah baginda.
Dalam pada itu Sultan Johor turut mengingatkan segelintir pihak supaya tidak mempolitikkan isu vaksin.
“Isu vaksin ini tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya kerajaan sedang berusaha serta mengambil pelbagai pendekatan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat untuk mendapatkan vaksin,” titah baginda.
Menurut laporan media dianggar seramai 133,000 penerima yang terdiri daripada warga emas akan menerima dos suntikan vaksin AstraZeneca dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh Johor bermula minggu ini.