PASIR MAS | Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA 8) merampas sebanyak 41 kilogram dadah dipercayai syabu dan 720,000 biji pil yaba dengan nilai lebih RM8.6 juta menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, kelmarin.
Serbuan pada jam 4.30 petang itu dibuat menerusi Op Benteng COVID-19 oleh sepasukan pegawai dan anggota PGA 8 turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), Datuk Kasuahdi Ali berkata, polis melakukan intipan selama empat jam terhadap rumah kosong itu sebelum seorang lelaki masuk ke dalam kediaman itu.
Katanya, sebaik suspek masuk, PGA 8 membuat serbuan dan menahan lelaki itu.
“Hasil serbuan, pihaknya mendapati terdapat lapan bungkusan plastik hitam yang diletakkan di dapur rumah kosong berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 41 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.47 juta dan 720,000 biji pil kuda bernilai RM7.2 juta.
“Bekalan dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran dan pil yaba dihantar ke Pantai Timur, manakala syabu dihantar untuk pasaran ke Lembah Klang dan Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap lelaki berkenaan masih dijalankan sama ada ia berperanan sebagai ‘transporter’ atau tauke sindiket.
“Kediaman yang diserbu itu disyaki milik kakak suspek, namun siasatan terperinci masih dijalankan.
“Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah ditahan reman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sindiket pengedaran dadah masih mengambil peluang untuk mengedar dadah, namun pihaknya akan memperketatkan kawalan sempadan bagi mengekang kegiatan itu.