PASIR MAS | Tahap kesedaran penerimaan vaksin semakin meningkat, namun perlu ditingkatkan lagi supaya setiap penerima yang sudah berdaftar akan hadir untuk terima vaksin.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau dimaklumkan kapasiti penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Daerah Apam Putra, Lubuk Jong, di sini sekitar 1,000 hingga 1,200 orang.
Katanya, kehadiran setiap hari ke PPV itu berada paras 65 peratus setiap hari.
“Buat masa sekarang, PPV perlu menyediakan senarai tambahan yang terdiri daripada petugas barisan hadapan komuniti bagi tujuan ‘standby’ jika penerima yang dijadualkan tidak dapat hadir.
“Isu sekarang ialah bekalan vaksin yang masih tidak mencukupi. Senarai menunggu yang disediakan untuk program outreach telah mencecah ribuan individu yang siap sedia untuk divaksin,” katanya menerusi Facebook miliknya.
Beliau turut dimaklumkan bahawa sasaran Pejabat Kesihatan Daerah sebanyak 3,000 vaksin setiap hari.
“Itu adalah sasaran sekiranya bekalan vaksin sampai dengan lancar. Jika ini dicapai, Pasir Mas boleh mencapai imuniti kelompok dalam masa dua bulan dengan jumlah pemberian vaksin seramai 140,000 individu.
“Saya akan sampaikan permohonan khusus kepada pihak Kementerian Sains, teknologi dan Alam Sekitar ( MOSTI) agar keutamaan dapat diberikan kepada kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir seperti Pasir Mas yang mana cuaca sejuk dikatakan akan lebih mempercepatkan penularan wabak COVID19,” katanya.