SINGAPURA | Varian Delta yang sebelum ini dikenali sebagai varian India, adalah kes Covid-19 yang paling banyak menular di sini, menurut Data Kementerian Kesihatan Singapura.
Lapor Agensi, risiko jangkitan yang lebih tinggi berbanding varian membimbangkan (VOC) lain meningkatkan kekhuatiran pihak berkuasa yang kini berusaha membendungnya.
Menurut kenyataan hari ini, 449 kes tempatan membabitkan VOC dikesan setakat 31 Mei lalu, dengan 428 daripadanya varian Delta yang mula dikesan di India dan sembilan varian Beta yang pertama kali di kesan di Afrika Selatan.
Pihak berkuasa Singapura mula mengesan varian Delta di negara itu pada awal Mei lalu. Varian Delta mencetuskan kebimbangan susulan lonjakan kes di beberapa negara seperti United Kingdom (UK), yang berkemungkinan menangguhkan perancangan pembukaan sekatan selepas pengagihan vaksin di kebanyakan negara.
Singapura melaksanakan jujukan genom bagi semua kes positif COVID-19, tidak seperti beberapa negara lain yang hanya menjalankan jujukan genom bagi sebahagian kecil kes yang dikesan.
Lonjakan terbaru termasuk yang berkait dengan varian Delta, memaksa Singapura memperketat kawalan perhimpunan sosial bulan lalu.
Bagaimanapun, jumlah jangkitan kembali mencatat penurunan, dengan hanya dua kes dikesan hari ini, yang terendah sejak awal bulan lalu, menjelang pelonggaran sekatan selepas 13 Jun depan.
Program imunisasi COVID-19 Singapura pula kini dilaksanakan pada tahap tertinggi.
Negara itu melaporkan lebih 62,000 kes COVID-19 secara keseluruhan, dengan 34 kematian setakat ini.